RM20 – RM27 saja naik bil air di Terengganu, tidak bebankan rakyat, kata Exco
Ibarat ‘hadiah’ kepada rakyat Terengganu ketika kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai Perikatan Nasional (PN), kenaikan bil air dianggap pemimpinnya sebagai tidak membebankan.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kenaikan tarif berkenaan hanya memberi kesan kecil kepada isi rumah biasa yang mempunyai empat hingga enam orang penghuni kerana purata penggunaan air masih di bawah 30 meter padu (m³) sebulan.
“Kalau rumah biasa, kenaikan sekitar RM20 sahaja. Sebagai contoh, bil rumah saya sebelum ini sekitar RM100, sekarang jadi RM121.
“Jadi, kenaikan ini tidak membebankan,” kata pemimpin Pas Kawasan Kemaman itu.
Beliau menambah kadar baharu yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah kecil berbanding negeri-negeri lain.
Malah, ujarnya, semakan tarif air itu dilakukan selepas 27 tahun tidak dinaikkan dan diyakini tidak membebankan pengguna.
Dalam masa sama, Hanafiah menasihatkan pengguna supaya memastikan penggunaan air tidak melebihi 35 meter padu, kerana jika lebih, kadar kenaikan boleh mencecah hampir 100 peratus.
BACA JUGA Menjelang pelaksanaan BUDI95: Boleh tukar percuma MyKad rosak hingga 7 Oktober