Subsidi petrol RON95: Menteri jamin sistem MyKad selamat
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa sistem teknologi maklumat kerajaan berhubung pelaksanaan sistem MyKad untuk mengakses subsidi petrol RON95 mematuhi protokol keselamatan yang ketat.
Beliau berkata, rakyat Malaysia sudah memahami kepentingan menjaga MyKad mereka kerana ia dihubungkan dengan pelbagai perkhidmatan penting.
“Orang ramai menjaga MyKad mereka dengan baik kerana mereka tahu ia berkait dengan banyak perkara.
“Kita menggunakan proses sedia ada kerajaan untuk memastikan keselamatan sentiasa terpelihara,” katanya, dipetik BH.
Amir Hamzah berkata demikian selepas lawatan kerja ke Pulau Betong, Balik Pulau sebagai sebahagian daripada inisiatif Kampung Angkat Madani.
Menurutnya, sistem MyKad sudah diguna pakai dalam pelbagai program bantuan kerajaan dan ia terbukti selamat serta berkesan.
“Kita sudah menggunakan MyKad untuk pengagihan bantuan, contohnya sistem Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merangkumi lebih sembilan juta individu dengan menggunakan MyKad mereka. Kita tidak menghadapi sebarang masalah dengannya.
“(Jadi) tidak perlu membangunkan kad atau sistem baharu kerana infrastruktur sedia ada sudah mencukupi untuk menyokong pelaksanaan subsidi yang bermula pada 30 September ini,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan MyKad turut memperkukuh identiti dan kebanggaan nasional.
“Apabila seseorang memegang MyKad, mereka seharusnya berasa bangga. MyKad itu adalah kunci untuk mengakses faedah seperti subsidi RON95.
“Jika mereka tidak memilikinya, maka mereka tidak layak,” kata Amir Hamzah lagi.
BACA JUGA Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor, Cik Afzaa pada 2 Oktober depan