Tiga sekutu rapat Israel ini akhirnya iktiraf negara Palestin

Tiga sekutu rapat Israel iaitu Britain, Kanada dan Australia secara rasminya malam tadi mengiktiraf negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Keputusan itu lahir akibat kekecewaan terhadap perang di Gaza serta bertujuan menghidupkan semula penyelesaian antara kedua negara.

Susulan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berang dan menolak pengiktirafan Palestin oleh tiga negara terbabit.

Netanyahu menganggap langkah tersebut sebagai ganjaran kepada keganasan serta menegaskan penubuhan negara Palestin tidak akan berlaku.

Ketetapan tiga negara itu sejajar dengan kira-kira 140 negara lain yang turut menyokong aspirasi rakyat Palestin untuk menubuhkan negara merdeka di wilayah yang diduduki Israel.

Britain membuat keputusan yang simbolik memandangkan peranannya dalam penubuhan negara Israel moden pada 1948 iaitu selepas Perang Dunia Kedua.

“Hari ini (21 September), demi menghidupkan harapan perdamaian antara Palestin dan Israel serta penyelesaian dua negara, United Kingdom secara rasmi mengiktiraf negara Palestin,” kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.

Menerusi kenyataan video berdurasi 6 minit 21 saat di platform X itu, Starmer turut menegaskan bahawa “detik untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin telah pun tiba.”

Sementara itu, Australia sebelum ini secara lazimnya condong menyokong Israel dalam banyak undian di PBB, meskipun kadang-kadang mengambil pendirian lebih seimbang.

Kanada pula dikenali sebagai salah satu penyokong kuat Israel, khususnya sejak era Perdana Menteri Stephen Harper (2006 hingga 2015), walaupun pentadbiran tertentu cuba mengekalkan imej ‘adil’ dengan mengiktiraf hak rakyat Palestin.

Negara lain termasuk Perancis dijangka akan mengambil langkah serupa minggu ini semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Palestin merakamkan penghargaan kepada ketiga-tiga negara terbabit atas “keputusan berani” mereka untuk secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin, yang disifatkan sebagai selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi sah PBB.

Kementerian itu menyifatkan, pengiktirafan itu sebagai “pengiktirafan terhadap hak yang adil dan sah rakyat Palestin,”.

Kerajaan Palestin juga menyatakan, ia satu usaha untuk melindungi penyelesaian dua negara daripada jenayah berterusan seperti genosid, kebuluran, pengusiran dan rampasan yang dilakukan oleh Israel.

BACA JUGA Gaji dah naik tapi trend penjawat awam maki Kerajaan MADANI membimbangkan