Tular suasana ribut di KL, puluhan kenderaan rosak

Tular rakaman video memaparkan suasana ribut di PPR Cempaka, Pantai Dalam, ibu negara yang turut menerbangkan struktur bumbung petang tadi.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 30 kenderaan mengalami kerosakan selepas dihempap struktur bumbung yang diterbangkan ribut dalam kejadian di Blok E, perumahan PPR itu.

Selain itu, gambar yang menunjukkan keadaan jalan yang sesak akibat pokok tumbang termasuk sebuah kereta putih yang dihempap pokok di Jalan Tempinis turut tersebar.

Pusat Info Trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, aliran trafik mula perlahan di jalan utama Kuala Lumpur akibat cuaca hujan lebat petang tadi dan pokok tumbang di beberapa lokasi.

Antara kawasan terjejas ialah Bangsar, khususnya di Jalan Tempinis dan Jalan Tandok, selain kawasan berhampiran Masjid Negara.

Kuala Lumpur Control & Command Centre (KLCCC) DBKL pula menerusi satu hantaran di akaun Facebook, memberitahu kerja-kerja pengalihan pokok tumbang dilakukan di beberapa lokasi sekitar pusat bandar.

“Ia dilakukan Team Unit Kecemasan DBKL, Skuad Penyelamat DBKL, bomba, JPAM, Renjer KLC3 dengan bantuan kawalan trafik oleh warden dan polis trafik,” katanya.

@buletintv3

Atap zink dilaporkan runtuh menimpa puluhan kenderaan penduduk susulan hujan lebat dan ribut, di PPR Cempaka, Pantai Dalam, ibu negara, kira-kira jam 4.15 petang tadi. #BuletinTV3 #BeritaTerkini #Ribut #KualaLumpur

♬ original sound – BuletinTV3 – BuletinTV3

BACA JUGA Menjelang pelaksanaan BUDI95: Boleh tukar percuma MyKad rosak hingga 7 Oktober