Kenderaan asing boleh beli RON95? Ini penjelasan Amir Hamzah
Semua kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak dibenarkan sama sekali untuk membeli petrol RON95 walaupun selepas harganya diapungkan mengikut pasaran semasa kelak.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, larangan itu kekal seperti amalan sedia ada, dengan hanya rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sahaja sah layak menikmati subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
“Bagi kenderaan berdaftar luar negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura, mereka hanya dibenarkan membeli RON97, seperti ketetapan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Zon Utara, di Setia SPICE Convention Centre, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Sesi libat urus yang bermula 10.30 pagi hingga 1.15 petang itu turut disiar menerusi laman rasmi Facebook Kementerian Ekonomi.
Bagaimanapun, Amir Hamzah berkata, warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara dibenarkan untuk membeli RON95 pada harga pasaran yang akan diumumkan akhir bulan nanti.
Berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 bagi golongan seperti pemandu e-hailing, beliau memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan beberapa mekanisme kawalan untuk memastikan langkah penyasaran itu berjalan lancar dan tidak disalah guna.
Jelasnya, kerajaan akan memastikan golongan seperti pemandu e-hailing yang memerlukan lebih 300 liter sebulan benar-benar layak melalui pengesahan bersama syarikat masing-masing.
“Kalau kelayakan itu ada, mereka boleh memohon dengan sokongan syarikat. Kita boleh mengesahkan penggunaan tersebut melalui rekod sistem e-hailing sama ada benar-benar digunakan untuk bekerja.
“Kerajaan juga tidak akan membenarkan penggunaan yang terlalu banyak dalam sehari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di Georgetown, hari ini.

BACA JUGA BUDI95: Rakyat puji boleh guna Touch ‘n Go, Setel