Ramai sokong had 300 liter sebulan RON95, bantu elak penyeludupan
Langkah kerajaan menetapkan had 300 liter sebulan bagi subsidi petrol RON95 mendapat sambutan positif orang ramai di media sosial.
Mereka menyifatkan keputusan itu mampu membendung ketirisan subsidi serta penyeludupan bahan api ke negara jiran, sekali gus memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasaran.
Penurunan harga RON95 daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter hujung bulan ini juga dilihat sebagai bukti komitmen kerajaan membantu rakyat tidak kira pendapatan mereka.
Maklum balas positif berkenaan hal itu ditinggalkan pada posting Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seorang pengguna, Mohd Zaky Zakaria memuji inisiatif berkenaan yang disifatkannya bijak dan perlu diteruskan kerana dapat mengekang pengaliran subsidi ke pihak yang tidak sepatutnya.
Dia juga menyatakan keyakinan bahawa penjimatan hasil pelaksanaan had kuota itu boleh digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
“Alhamdulillah. Inisiatif yang bijak untuk mengekang pengaliran subsidi ke tempat yang tak sepatutnya. Contoh penyeludupan minyak di sempadan dan subsidi petrol kepada warga asing yang mencecah 2-3 juta orang.
“Penjimatan darinya dianggarkan RM2 bilion setahun boleh digunakan untuk menaik taraf perkhidmatan kepada rakyat seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan,” katanya.

Nazmiza Naz pula menganggap pengumuman kerajaan ini sebagai satu langkah berani dan memerlukan kerjasama rakyat untuk menjayakannya.
Dia menyeru orang ramai supaya sama-sama memantau harga serta menggunakan peluang subsidi sebaik mungkin.
“Sokong sepenuhnya langkah berani ini! Rakyat perlu tahu bahawa setiap tindakan diambil untuk kebaikan semua. Saya harap kita sama-sama pantau harga dan guna kelebihan ini sebaik mungkin. Kena kuatkan kerjasama kita untuk hadapi cabaran sedia ada.”
Bagi Nurul Bainun pula, kerajaan wajar memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat tempatan dan bukannya penyeludup atau pihak yang tidak layak.
“Terima kasih PMX, Kerajaan Perpaduan dan MADANI. Cukup subsidi untuk rakyat. Jangan bagi peluang pada penyeludup dan perompak subsidi negara berleluasa!”
Semalam Anwar mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Beliau berkata, rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95, namun bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.
Kerajaan turut memutuskan semua warganegara dengan lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95. Seperti langkah penghargaan SARA, tahap pendapatan tidak digunakan supaya semua pihak dapat menikmati subsidi RON95.
BACA JUGA RM20 – RM27 saja naik bil air di Terengganu, tidak bebankan rakyat, kata Exco