RM11 bilion laksana BUDI95 lindungi kesejahteraan rakyat

Kira-kira RM11 bilion diperuntukkan untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter di bawah inisiatif subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi melindungi kesejahteraan rakyat.

Menerusi kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata, kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun dengan memansuhkan subsidi pukal.

MoF memaklumkan penjimatan tersebut akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menurut MoF, BUDI95 iaitu sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia, telah direka dan diteliti agar prosesnya tidak menyulitkan rakyat dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada penerima.

Semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.

“Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.

“Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta Proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan,” menurut kenyataan MoF lagi.

BACA JUGA BUDI95: Rakyat puji boleh guna Touch ‘n Go, Setel