Seminggu berlalu, mana calon PM dari Pas? – Soal Faiz
Pas masih gagal menamakan calon Perdana Menteri dari parti itu walaupun sudah seminggu berlalu sejak Muktamar Pas ke-71 berakhir.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, hakikatnya Pas tiada calon yang disepakati bukan sahaja dalam kalangan Perikatan Nasional, tetapi juga di dalam Pas sendiri.
Kata beliau, walaupun berlori-lori calonnya, tetapi tiada seorang pun yang mampu untuk diangkat sebagai PM menanti.Â
“Apabila bercakap tentang Islam, RUU 355 diperjuangkan. Tetapi membisu ketika menjadi kerajaan. Diumumkan hendak membentuk negeri hebat, tetapi banyak pelabur angkat kaki.
“Sebab itulah dalam isu pencalonan PM ini, Pas tidak mampu menamakan calon rasmi daripada parti itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faiz berkata, kenyataan Pas yang mampu menyediakan berlori-lori calon Perdana Menteri menunjukkan mentaliti pemimpin parti itu yang tidak memahami kepentingan institusi PM.
PM adalah ketua kerajaan dan itulah kerusi yang diberikan kepada nabi Muhammad SAW oleh penduduk Madinah.
Ini bermakna katanya, kerusi ketua kerajaan itu sangat penting di dalam perjuangan dan ia bukan satu perkara yang boleh diperlekehkan.
“Jika diambil dari sudut struktur pentadbiran Malaysia, kerajaan dibentuk dengan terlantiknya PM.
“Tanpa PM dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kerajaan tidak boleh dibentuk dan inilah yang berlaku setiap kali pilihanraya umum.
“Sikap Pas dalam isu pencalonan PM ini mencerminkan betapa tidak bertanggungjawabnya Pas dalam isu pentadbiran. Pas bukannya parti yang berjuang untuk mengangkat pentadbiran sebagai agenda penting, sedangkan pentadbiran adalah tunjang kepada sesebuah negara dan aspek penting dalam Islam,” ujarnya.
BACA JUGA Ramai sokong had 300 liter sebulan RON95, bantu elak penyeludupan