‘Turunlah ke realiti YB!’ – Pentadbir FB Greater Terengganu persoal jawapan Exco isu bil air

Pentadbir halaman Greater Terengganu Development menegur kenyataan Exco negeri, Hanafiah Mat yang mendakwa kenaikan bil air adalah kecil bagi blok penggunaan 20 hingga 35 meter padu.

Menurut halaman yang banyak memaparkan perihal Terengganu itu, kenaikan tersebut sebenarnya lebih sekali ganda iaitu daripada RM0.83 setiap meter padu kepada RM1.69, yang didakwa lebih tinggi berbanding negeri maju seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Menurutnya, contoh yang diberikan Exco berkenaan juga mengelirukan kerana melibatkan penggunaan berbeza.

“Contoh yang YB berikan pula adalah mengelirukan. YB kata dulu bil air rumah YB cuma RM100 sebulan. Sekarang jadi RM121. Seolah-olah memberi gambaran kadar ini kecil.

“Tapi sebenarnya penggunaan YB pada bulan tersebut adalah berbeza. Jika bulan sebelum ini bil air YB adalah RM100, ini bermakna rumah YB menggunakan sekitar 105 meter padu sebulan

“Jika penggunaan tersebut sama pada bulan ini, kadar bil air rumah YB akan menjadi RM196.05. Ini adalah hampir sekali ganda.

“Oleh itu YB tidak boleh membuat perbandingan jika penggunaan bulanan berbeza. Ini merendahkan akal rakyat,” katanya.

Laman itu turut mengingatkan bahawa kenaikan melampau bil air ini dirasai oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk rakyat miskin Terengganu yang masih tinggal bersama ibu bapa walaupun telah beranak pinak.

“Mereka ini terpaksa membayar kadar air yang mahal. Adakah ia adil untuk mereka? Sudahlah terpaksa berhimpit satu rumah kampung, kini bil air mahal pula dibebankan kepada mereka. Nok jimat guana lagi?

“Jangan banding kehidupan Exco dengan rakyat. Gaji Exco RM14,000 sebulan. Tambah gaji Adun RM11,000 sebulan. Elaun lembaga pengarah, tuntutan serta faedah yang diterima pula beribu-ribu lagi. 

“Wajarkah disamakan dengan rakyat kerja kampung dan hidup menumpang? Turunlah ke alam realiti YB!,” tulis laman itu lagi.

BACA JUGA Lebih 13 juta rakyat dah tebus bantuan penghargaan SARA