Wanita dikecam teruk, guna petrol 600 liter sebulan tetapi mahu minyak subsidi

Seorang wanita menjadi sasaran kecaman berhubung penetapan siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON 95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sehingga 300 liter sebulan.

Pengguna Facebook, Hamizura Osman berkata, sebelum ini dia dan suami menggunakan 600 liter sebulan yang apabila didarabkan dengan RM2.05 berjumlah RM1,230.00.

“Sekarang dengan pengumuman kononnya harga minyak turun:
• 300 liter × RM1.99 = RM597.00
• 300 liter × RM2.60 = RM780.00
Jumlah = RM1,377.00.

“Maknanya sekarang saya kena bayar lebih RM147 sebulan berbanding dulu.

“Jadi, di mana logiknya “penurunan harga” kalau akhirnya rakyat macam saya lagi rugi?

“Terus terang, ini bukan penurunan harga… nampaknya saya kena ambil lesen kereta untuk dapatkan subsidi lebih,” tulisnya.

Hantaran itu menerima lebih 3,200 emoji dengan kira-kira 1,000 daripadanya meninggalkan emoji ketawa selepas 20 jam hantaran itu dimuat naik.

Rata-rata menempelak rungutan wanita berkenaan yang dilihat termasuk dalam golongan berada memandangkan penggunaan petrol sebulannya mencecah 600 liter.

“Betullah dikatakan golongan kayangan lebih banyak baham subsidi. Contoh depan mata. Logiklah sebab kau T20. T20 sepatutnya tuang minyak hijau.

“Orang kaya lapar subsidi untuk orang miskin.

“Banyaknya pakai minyak, mandi minyak ke?

“Logik… Tak patut dapat subsidi,” demikian antara lebih 1,400 komentar yang rata-ratanya mengecam wanita berkenaan yang dipercayai penyokong tegar pembangkang.

Seorang netizen beranggapan wanita ini seolah-olah tinggal di Kelantan atau Johor dan setiap hari berulang alik ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

“600 liter sebulan bermakna kau guna 20 liter sehari, manakala average perjalanan kau 300km-400km sehari.

“Dengan kata lain kau ulang alik kerja KL – JB setiap hari… Atau kerja KL duduk Kelantan,” kata Syukri Abdullah mengulas tulisan Wanita ini di facebook.

Untuk rekod, penetapan siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON 95 sehingga 300 liter sebulan adalah mengikut dapatan kajian oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).

Kementerian Kewangan memaklumkan, dapatan kajian itu mendapati lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah berkenaan.

BACA JUGA Kenderaan asing boleh beli RON95? Ini penjelasan Amir Hamzah