MOT, JPJ tegas laksana penguatkuasaan Speed Limitation Device mulai 1 Oktober

FOTO BERITA: Sidang Media oleh YB Loke Siew Fook Menteri Pengangkutan mengenai pembaharuan lesen memandu di bilik media, aras 10, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) Putrajaya. : 24hb September 2025 (Rabu)

PUTRAJAYA, 24 September 2025 – Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan komitmen untuk memperkukuh keselamatan jalan raya dan tahap pematuhan undang-undang melalui pelaksanaan dasar, penguatkuasaan berkesan, advokasi berterusan serta transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, berkata penguatkuasaan Speed Limitation Device (SLD) akan bermula secara rasmi pada 1 Oktober 2025 melibatkan kenderaan bas persiaran, bas ekspres serta kenderaan barangan tertentu yang dibina selepas 1 Januari 2015.

“Semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD mesti disahkan pihak diiktiraf JPJ melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD, yang perlu dikemukakan ketika pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) atau semasa urusan pembaharuan permit dengan APAD/LPKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat 23 September 2025, daripada jumlah keseluruhan 108,805 kenderaan terlibat, hanya 2,915 kenderaan telah membuat pengesahan SLD, manakala selebihnya masih belum berbuat demikian. JPJ menegaskan tiada kompromi selepas tarikh penguatkuasaan dan pemilik kenderaan yang ingkar akan dikenakan Notis 114 (Notis Panggilan Temu Siasat).

Selain itu, MOT turut memberi peringatan berhubung isu Lesen Memandu Kompeten (CDL) tamat tempoh. Berdasarkan rekod JPJ, terdapat 2.4 juta pemegang CDL dalam status tidak aktif melebihi tiga tahun, manakala 925,421 pemegang lesen tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun.

“Pemegang CDL yang tamat tempoh kurang tiga tahun digesa segera memperbaharui lesen masing-masing bagi mengelakkan kewajipan menduduki semula ujian KPP02 dan KPP03,” ujar Loke.

Sejak pengumuman BUDI RON95 pada 22 September lalu, JPJ merekodkan 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi aplikasi MyJPJ, mySikap, kiosk, serta kaunter JPJ seluruh negara. MOT dan JPJ menegaskan langkah ini adalah sebahagian usaha menyeluruh memastikan keselamatan pengguna jalan raya, di samping memperkukuh budaya pematuhan undang-undang di Malaysia.

Dalam nasa yang sama Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan sejumlah besar cukai jalan tertunggak membabitkan ribuan kenderaan mewah di seluruh negara dengan nilai keseluruhan melebihi RM35 juta.

“Pemilik kenderaan mewah seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik dalam aspek pematuhan undang-undang. Kegagalan memperbaharui cukai jalan bukan sahaja menjejaskan hasil negara, tetapi juga boleh menyebabkan implikasi penguatkuasaan kerana kenderaan tidak layak berada di jalan raya,” tegasnya.