Pemuda AMANAH ‘sekolahkan’ Pas tak puas hati had 300 liter RON95

Pemuda AMANAH Nasional menempelak sayap anak muda Pas yang mengkritik had kelayakan bulanan petrol sebanyak 300 liter menerusi pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Naib Ketuanya, Ammar Atan berkata, had 300 liter itu sudah mengandungi “buffer”, di mana ia cukup untuk ulang-alik kerja, perjalanan bersama keluarga dan sebagainya.

“Buktinya seperti berikut: Perodua Myvi 1.3, misalnya, boleh bergerak 20 km dengan 1 liter petrol (anggaran konservatif). Dengan 300 liter, ia boleh bergerak 6,000 km sebulan atau 72,000 km setahun.

“Proton X70 1.5 pula boleh bergerak 10km dengan 1 liter petrol (anggaran konservatif). Bermakna, dengan 300 liter, ia boleh mencapai 3,000 km sebulan atau 36,000 km setahun,” jelasnya.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda Pas Pusat, Nazrul Nazir mendakwa had 300 liter petrol tidak mencukupi tanpa menyatakan jumlah liter yang sepatutnya diperlukan.

Nazrul mendakwa penduduk luar bandar atau kawasan satelit yang berulang-alik jauh ke bandar lazimnya menggunakan petrol melebihi 300 liter.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, kenyataan Pemuda Pas itu sama sekali tidak membuktikan dakwaan siling 300 liter adalah tidak mencukupi.

“Cakap kosong jangan dijadikan budaya, cukuplah pimpinan tertinggi Pas, jangan terjangkit pemuda, kita perlu berani berubah,” tempelaknya.

Beliau berkata, anggaran purata perjalanan kenderaan di Malaysia oleh pengguna biasa iaitu bukan e-hailing hanya sekitar 28,000 km sahaja setahun.

Jelasnya, angka 28,000 km itu adalah anggaran yang digunakan dalam laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Tenaga Nasional Bhd.

“Pemuda Pas tidak perlu risau. Dua laporan di atas hanyalah untuk rujukan.

“Kerajaan MADANI pastinya telah menggunakan dataset yang lebih terbaru dan terperinci dalam menentukan had 300 km,” tambah Ammar lagi.

BACA JUGA Sembilan letupan ganggu misi Sumud Flotila