Inkues kes Zara Qairina, pengurusan kes lima suspek berjalan serentak

Pengurusan kes lima suspek remaja yang didakwa berhubung kematian Zara Qairina Mahathir akan berlangsung serentak dengan pendengaran inkues.

Prosiding pengurusan kes lima remaja berkenaan akan dijalankan terlebih dahulu sebelum inkues yang memasuki hari ke-14 diteruskan.

Dalam sidang akhbar pada Rabu, peguam mewakili ibu Zara Qairina, Rizwandean M Borhan berkata, prosiding inkues akan disambung selepas pengurusan kes pertuduhan lima remaja selesai.

“Kami pihak pemerhati untuk kes ini dan kami dapat tahu ada pengurusan kes esok mungkin salah seorang daripada pasukan kami akan hadir sebagai pemerhati.

“Sebab peguam mereka terlibat di sana jadi kalau saya tidak silap, prosiding pengurusan kes akan diselesaikan dahulu barulah inkues bermula,” katanya.

Sebelum itu, dalam pendakwaan 20 Ogos lalu, lima remaja tersebut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela dan menggunakan kata-kata kesat terhadap Allahyarhamah Zara Qairina.

BACA JUGA: Malaysia–Timor-Leste teroka kerjasama baharu perkukuh hubungan dua hala