‘Kilang troll’ ancam demokrasi, penganalisis dedah taktik jahat di media sosial
Gejala ‘kilang troll‘ atau ‘troll farm’ yang memanipulasi pendapat rakyat dilihat mengancam demokrasi dan kestabilan negara.
Penganalisis media, Eddy Gordon Zul, mendedahkan bagaimana operasi hasutan maya terancang yang lebih dikenali di Indonesia sebagai Buzzer itu mampu menjejaskan kerajaan.
Menurutnya, ‘troll farm’ berfungsi membanjiri platform media sosial dengan taktik spam dan komen berulang sehingga algoritma menganggap ia isu penting.
Akibatnya, jelas beliau, mesej propaganda yang sarat dengan penipuan dan hasutan kebencian akan terus dilambakkan kepada khalayak yang mudah terpengaruh.
“Ini bukan lagi soal kebebasan bersuara, sebaliknya adalah manipulasi besar-besaran untuk mengawal fikiran rakyat,” tegasnya.

Malah, ketika era Kerajaan Perikatan Nasional (PN), katanya, syarikat gergasi teknologi Meta pernah mendakwa pihak berkuasa sendiri terbabit dengan akaun ‘troll farm’.
Sehubungan itu, Edyy memberi amaran, modus operandi ‘troll farm’ kini jelas kelihatan di negara-negara Asia yang sedang berdepan gelombang demonstrasi jalanan.
Beliau tidak menolak kemungkinan taktik kotor yang sama boleh digunakan di Malaysia bagi menggugat ketenteraman rakyat dan merosakkan usaha kerajaan MADANI membina negara sejahtera.
“Kalau tidak ditangani segera, kita mungkin akan turut menerima kesan sama seperti negara lain.
“Harap MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) lebih cakna.
“Jangan sampai Malaysia pun kena ‘getah’ macam negara Asia lain. Beringat sebelum kena,” serunya lagi.
Untuk rekod, rusuhan besar-besaran di bandar-bandar seluruh Indonesia susulan elaun mewah wakil rakyat dan kemarahan terhadap polis pada Ogos lalu mengorbankan sekurang-kurangnya enam individu.
Sementara itu, tidak kurang daripada 20 individu dilaporkan hilang dan masih belum ditemui, setakat 1 September lalu.
Nilai kerugian dilapor mencecah ratusan bilion rupiah akibat kebakaran Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) serta kemusnahan pelbagai infrastruktur awam seperti hentian bas, CCTV dan kemudahan polis.
BACA JUGA Ramai terkejut suami curang di klinik kesihatan sebut ‘ayaq’, ‘fai’