Mat Sabu puji tindakan Itali, Sepanyol hantar kapal tentera laut bantu misi Sumud Flotilla
AMANAH menyambut baik dan menyokong tindakan kerajaan Itali serta kerajaan Sepanyol yang menghantar kapal tentera laut bagi membantu misi flotilla kemanusiaan ke Gaza selepas serangan dron baru-baru ini.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah berani ini memperlihatkan bahawa di tengah-tengah keheningan dan kealpaan dunia, masih ada negara yang sanggup mengambil risiko demi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang terkepung.
Menurut beliau, Itali dan Sepanyol telah membuktikan bahawa mereka bukan hanya terbatas kepada retorik kosong semata-mata, tetapi sanggup menunjukkan keberanian moral dengan tindakan nyata.
“Lebih malang, dunia Arab yang sepatutnya menjadi benteng utama umat Islam masih terus bergantung harap kepada Amerika, ibarat menunggu sisik tumbuh pada ikan keli, sesuatu yang mustahil.
“Parti Amanah Negara menegaskan bahawa Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia. Mereka berhak hidup dengan aman, mendapat makanan, ubat-ubatan dan kebebasan daripada kepungan yang zalim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru kata Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), tindakan Itali dan Sepanyol perlu menjadi inspirasi bahawa solidariti dengan Palestin tidak mengenal sempadan bangsa, agama, atau benua.
Beliau turut menyeru agar negara-negara lain, khususnya dunia Islam untuk tidak lagi berlengah dan jangan hanya bergantung kepada kuasa besar yang jelas sekali lebih mementingkan kepentingan geopolitik mereka.
“Tampil dan bertindaklah dengan keberanian yang sama, kerana inilah masa untuk membuktikan bahawa kita benar-benar peduli terhadap nasib Palestin, bukan sekadar melaungkan slogan di pentas persidangan,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Anwar Ibrahim: Mengangkat Maruah Malaysia di Persada Antarabangsa