Jalan Pantai Batu Rakit bernilai hampir RM5 juta runtuh lagi, apa dah jadi?
Sejak semalam tular beberapa keping gambar memaparkan Jalan Pantai Batu Rakit yang hampir siap dibaik pulih kembali runtuh.
Difahamkan, projek membaik pulih itu menelan belanja sekitar RM4.95 juta.
Menurut info diperoleh, ada beberapa penduduk kampung sudah pun menegur kerajaan negeri kerana bimbang kaedah dan bahan yang digunakan dilihat kurang meyakinkan.
Akhirnya apa yang dikhuatiri penduduk menjadi kenyataan.
Sementara itu AMANAH Terengganu menggesa kerajaan negeri menjalankan audit menyeluruh terhadap projek baik pulih yang bernilai hampir RM5 juta itu.
Pengerusinya, Mohd Hasbie Muda berkata, runtuhan itu membuktikan kelemahan dari aspek perancangan, reka bentuk serta kaedah pembinaan yang tidak mengambil kira faktor hakisan pantai dan cabaran alam sekitar.
Beliau menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang gagal menepati piawaian serta memastikan kerja baik pulih dibuat dengan kaedah lebih saintifik dan bukan sekadar tampalan sementara.
Sebelum ini, kerja-kerja membaik pulih jalan dan tebing runtuh di Kampung Tanjung itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan.
Projek itu dilaksanakan susulan kejadian runtuhan jalan sepanjang 280 meter yang berlaku akibat cuaca buruk ketika Monsun Timur Laut pada Januari lalu.
BACA JUGA ‘Kilang troll’ ancam demokrasi, penganalisis dedah taktik jahat media sosial