Nasib Rafidah di hujung tanduk, Arisprop fail saman RM281,000
Nasib penyokong pembangkang, Rafidah Ibrahim kini di hujung tanduk apabila berdepan risiko diisytihar muflis.
Aset dia juga yang dikenali garang bercakap tentang pembangunan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur kemungkinan disita.
Jangkaan itu bakal terjadi sekiranya Rafidah gagal melunaskan bayaran saman fitnah berjumlah RM281,200 kepada ahli perniagaan, Datuk Haris Embong dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd.
Lapor Kosmo! Online memetik Haris, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak Rafidah mahupun wakilnya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai tahun lalu.
“Sebanyak 422 hari telah berlalu sejak keputusan itu diumumkan. Namun, Rafidah Ibrahim masih tidak mematuhi terma pembayaran ganti rugi sehingga ke hari ini.
“Maka, firma guaman telah mengeluarkan notis tuntutan kali kedua pada Jumaat lalu, 19 September 2025. Rafidah diberikan tempoh tujuh hari untuk mematuhi keputusan mahkamah,” katanya dipetik Kosmo! Online.
Menurut Haris, peguamcara Rafidah mengesahkan notis itu diterima pada 22 September lalu tetapi, sehingga kini masih tiada sebarang pembayaran dibuat.
BACA JUGA Menjawab ustaz Pas merengek tak cukup kuota petrol 300 liter sebulan