Selepas ini CCTV akan dipasang di semua pusat tahanan APMM, lokap AADK

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 bersetuju agar Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) dipasang di setiap pusat tahanan Agensi PenguatkuasaanMaritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) seluruh negara.

Perkara itu diberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook hari ini selepas mempengerusikan mesyuarakat berkenaan semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

“Ia bagi memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan,” katanya.

Selain itu, kerajaan memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara yang bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara, bahkan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan. 

Atas keprihatinan dan pendirian kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara, mesyuarat bersetuju supaya isu-isu melibatkan perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat.

Perdana Menteri berkata, reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui hari ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara serta mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam.

BACA JUGA Jalan Pantai Batu Rakit bernilai hampir RM5 juta runtuh lagi, apa dah jadi?