Tak sangka 2 anggota penguatkuasa seleweng hampir RM30,000 minyak masak bersubsidi
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan semalam menahan dua anggota penguatkuasa kerana disyaki bertindak mengatur kaunter (counter setting) dalam sindiket penyelewengan 11,050 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi.
Kedua-duanya, berusia 27 dan 41 tahun, antara lapan individu yang ditahan dalam operasi dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga itu.
Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, kedua-dua penjawat awam terbabit daripada jabatan berbeza di Rantau Panjang.
Mereka dipercayai membantu sindiket di kaunter pemeriksaan bagi memudahkan kenderaan membawa minyak masak bersubsidi melepasi sempadan.

“Dua penguat kuasa ini adalah kunci operasi sindiket kerana peranan mereka membolehkan kegiatan haram berlaku tanpa disedari pihak berkuasa,” katanya, dipetik Bernama.
Azman menambah, dalam operasi sama, ketua sindiket berusia 28 tahun turut ditahan.
Suspek dipercayai dalang utama penyelewengan yang dikesan sejak 2023 dan mempunyai rekod lampau, termasuk sekurang-kurangnya tiga kes lain di Pasir Mas.
Lapor Bernama, keseluruhan sitaan berjumlah RM482,225, merangkumi minyak masak bernilai RM27,625, dua lori, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire serta sebuah pikap.
BACA JUGA BUDI95: ‘Sampul ustaz selebriti tak sama macam ustaz kampung’