Pas sembang perpaduan Melayu Islam tapi berdegil tolak idea Kerajaan Perpaduan

Sudah hampir tiga tahun kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi Pas masih berdegil menolak idea Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengulangi pendiriannya memusuhi Kerajaan MADANI dalam siri artikel meleret panjangnya menerusi Minda Presiden semalam.

Dalam masa sama, Abdul Hadi menekankan pula kononnya Pas mengutamakan perpaduan Melayu Islam walaupun Kerajaan Perpaduan masih didominasi oleh ahli Parlimen Melayu beragama Islam.

“Pas mementingkan perpaduan Melayu Islam yang kuat bawah satu payung besar tanpa menonjolkan diri, dengan syarat pemimpin utama adalah Melayu Islam daripada sesiapa sahaja yang mencukupi syarat kepimpinan Islam yang beriman, berilmu, dan berakhlak yang dipilih oleh rakyat dalam PRU.

Abdul Hadi Awang

“Pas menolak idea kerajaan perpaduan yang mengambil jenama menipu dengan kuasa kalangan minoriti yang membahayakan Islam serta Melayu Islam dan bumiputera, bersama dominasi DAP yang menjadi ancaman kepada Islam secara tersurat dan tersirat,” menurut Abdul Hadi.

Untuk rekod, terdapat 74 Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan yang beragama Islam manakala yang tidak beragama Islam adalah kira-kira 44 orang.

Daripada 28 anggota Kabinet pula, seramai 19 daripadanya orang Melayu manakala sembilan lagi bukan Melayu atau bukan Islam yang bukan semuanya dari DAP.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang sudah 23 tahun bergelar Presiden Pas itu menegaskan bahawa partinya tetap memilih “demokrasi yang aman bagi menukar kerajaan kerana keamanan dan pendekatan damai adalah keutamaan dalam Islam”.

“Pendekatan yang berprinsip dan konsep ini adalah sama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia dan negarawan yang dihormati kerana pengalamannya yang panjang dalam arena politik,” kata Hadi merujuk pada Penasihat empat negeri dikuasai PN (SG4) itu.

BACA JUGA Bila Pas ‘bercium mulut’ dengan Ramasamy