Jalani saringan kesihatan berkala, 50,000 kes kanser baharu setiap tahun
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menasihatkan umum untuk menjalani saringan kesihatan berkala sebagai usaha mencegah peningkatan kes kanser yang yang kini meningkat kepada 50,000 kes baharu setiap tahun.
“Lebih 50,000 kes kanser baharu dikesan setahun dan lazimnya datang dengan tahap tiga dan empat, makna sudah terlambat.
“Antara kanser yang kerap dikesan di negara ini termasuk kanser payudara, kolorektal, paru-paru dan prostat.
“Saya mahu rakyat sedar dan bayangkan salah seorang keluarga disahkan mengalami kanser, ia pastinya memberi kesan terhadap kewangan keluarga,” katanya ditemui selepas menghadiri program ‘Bald and Beautiful Day 2025’.
Beliau turut mengumumkan bahawa kementeriannya akan bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan beberapa badan bukan kerajaan lain untuk melaksanakan program saringan kesihatan besar-besaran.
“Ini sebabnya kita di KKM menekankan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) mengenai kepentingan membuat saringan bagi mengesan penyakit lebih awal.
“Kita berhasrat untuk melakukan lebih satu juta saringan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berharap KKM diberikan peruntukan munasabah dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan tidak lama lagi bagi membangunkan kemudahan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada rakyat.
“Biasanya kita di menerima peruntukan kedua tertinggi. Perdana menteri yang juga menteri kewangan telah menunjukkan komitmennya dalam memberi sokongan.
“Peruntukan sebelum ini untuk membangunkan fasiliti hospital daif agak wajar dan munasabah tetapi keperluan membangunkan moral kakitangan juga penting, dengan beberapa permintaan yang akan diumumkan termasuk elaun dan sebagainya. Ia penting kerana kita berdepan masalah kekurangan kakitangan,” katanya.
BACA JUGA: Saya tolak tawaran Saudi bina 200 masjid, saya cadang bina sekolah