Skim lindungi pekerja di luar waktu pejabat mungkin diperkenalkan kelak

Satu Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan akan diperkenalkan kelak untuk melindungu pekerja di luar waktu pejabat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengenalan skim itu hasil kesedaran bahawa tekanan kerja tidak terhenti hanya di pintu kilang atau di pintu pejabat.

Katanya, dalam era susunan kerja yang fleksibel dan jarak jauh, pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti cara orang bekerja pada masa kini.

“Lebih penting, ia akan meluaskan perlindungan sepanjang masa kerana kemalangan dan kecederaan tidak terikat kepada jadual tertentu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 hari ini, menurut Bernama.

Anwar berkata, perlindungan sosial bukanlah sekadar sistem faedah birokrasi, sebaliknya merupakan infrastruktur moral.

“Peradaban awal dahulu sudah memahami perkara ini. Dalam tradisi Islam, baitulmal berfungsi memastikan kekayaan dimanfaatkan untuk membantu golongan miskin, balu, anak yatim dan warga tua. 

“Legasi keadilan dan solidariti itu terus menjadi inspirasi kepada kita,” katanya.

BACA JUGA Mat rempit isi minyak RON97 sebagai protes syarat tunjuk IC