GSF sudah melepasi zon kuning Gaza, kapal tentera laut Turkiye iringi sukarelawan
Konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sudah melepasi zon kuning Gaza yang diklasifikasikan sebagai zon berjaga-jaga.
Maklumat terbaharu itu dikongsikan menerusi Facebook pendakwah, PU Rahmat pagi ini.
“Alhamdulillah, sudah separuh malam dan semuanya masih indah dan tenang.
“Semua kapal berjaya melepasi zon kuning dan kapal tentera laut Turkiye masih bersama kami,” katanya.
Zon kuning terletak sejauh 300 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.
Paparan tinjauan ‘Sumud Nusantara Flotilla Tracker’ setakat jam 9.45 malam tadi menunjukkan tiga buah kapal sudah memasuki zon kuning.
Ia termasuk Kapal Yulara, Aurora dan Alma, yang berada paling depan dalam konvoi misi kemanusiaan itu.
Pelayaran konvoi yang terdiri daripada 46 kapal itu membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan.
Usaha memecah kepungan rejim Israel itu melibatkan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
BACA JUGA 16 juta rakyat nikmati BUDI95 RM1.99 mulai hari ini, pembangkang masih merungut