Isi minyak guna TNG eWallet, begini rupanya subsidi RON95 ditunjukkan
Seorang pengguna, Helmy Samad, berkongsi pengalaman menggunakan aplikasi Touch ’n Go (TNG) eWallet untuk mengisi minyak di stesen, sekali gus menerangkan bagaimana subsidi petrol RON95 dipaparkan kepada pelanggan.
Menurutnya, proses pembelian cukup mudah apabila pengguna hanya perlu membuka aplikasi TNG di telefon, memasukkan nombor pam dan jumlah bayaran.
Katanya, kod QR akan dipaparkan di skrin sebelum ditunjukkan kepada juruwang untuk diimbas.
“Saya bayar RM30, tetapi di pam tunjuk RM39.20. Jangan panik atau rasa macam dapat lebih.
“RM30 itu bersamaan lebih kurang 15 liter. Jumlah RM39.20 yang dipaparkan di pam ialah harga sebenar tanpa subsidi.
“Bezanya lebih RM9 itu adalah subsidi kerajaan,” jelasnya menerusi perkongsian di Facebook beliau hari ini.
Helmy turut menjelaskan bahawa kekeliruan mungkin timbul kerana sesetengah pengguna tidak menyedari mekanisme kiraan subsidi tersebut.
Tambahnya lagi, pengguna tidak perlu menunjukkan kad pengenalan ketika membuat pembelian kerana maklumat tersebut sudah pun disimpan dalam aplikasi TNG semasa proses pendaftaran.
Kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai hari ini, menerusi peluasan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Warganegara yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menerima BUDI95 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter dengan siling bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan.
Peringkat pertama pelaksanaan BUDI95 pada 27 September lalu membabitkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera.
Kelmarin, peringkat kedua BUDI95 membabitkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada golongan B40.
BACA JUGA Isi minyak guna TNG eWallet, begini rupanya subsidi RON95 ditunjukkan