Warga Indo bengang tak boleh isi RON95, dakwa dah 40 tahun duduk Malaysia
Keberkesanan sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) nampaknya mula terasa apabila seorang warga asing yang mahu mengisi petrol RON95 di sebuah stesen Petronas baru-baru ini, tidak dibenarkan berbuat demikian.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Thread, dia mendakwa berlaku situasi di mana seorang lelaki mahu mengisi RON95 pada harga subsidi iaitu RM1.99
Namun saat pekerja stesen minyak berkenaan meminta lelaki tersebut mempamerkan kad pengenalan, lelaki berkenaan mengeluarkan kad pengenalan merah menyebabkan permintaan itu ditolak serta-merta.
Lelaki terbabit juga merungut, mendakwa dia sudah 40 tahun menetap di negara ini.
“Hari ini dapat tengok keberkesanan BUDI95. Tadi ada warga Indonesia nak pam RON95. Pekerja Petronas suruh tunjuk IC dulu, dia tunjuk IC merah.
“Jadi, pekerja tak bagi lah. Ayat dia, “Saya sudah 40 tahun dekat sini, takkan tak boleh”. 40 tahun nikmati subsidi minyak,” kongsi pengguna terbabit.
Situasi itu mendapat perhatian ramai yang percaya selama 40 tahun ini individu berkenaan sudah banyak merasai nikmat subsidi yang disediakan kerajaan untuk rakyat Malaysia, yang sepatutnya tidak digunakan oleh mereka.
Mereka juga berpendapat inilah mengapa kerajaan melaksanakan subsidi bersasar kerana sudah puluhan tahun berlaku ketirisan di mana hak rakyat Malaysia disalah guna oleh warga asing.
Untuk rekod, hampir 900,000 warga asing di negara ini yang memegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) kini tidak lagi dapat menikmati subsidi petrol RON95, selepas pelaksanaan sepenuhnya BUDI95 bermula hari ini.
BACA JUGA Isi minyak guna TNG eWallet, begini rupanya subsidi RON95 ditunjukkan