Flotilla dijangka masuk zon merah 9 malam ini, ikuti ‘live’ CCTV

Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dijangka memasuki zon merah R3, iaitu kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, pada jam 9 malam ini waktu Malaysia).

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, siaran langsung CCTV dari atas kapal telah mula disiarkan di laman rasmi www.sumudnusantara.com untuk disaksikan masyarakat dunia sebagai rakaman bukti jika berlaku sebarang insiden.

“Semua kapal pemerhati tidak akan memasuki Zon Merah mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

“Ini termasuk kapal Shireen (Tunisia) dan Summertime-Jong (Itali),” katanya.

Sani Araby berkata demikian dalam sidang media berhubung perkembangan delegasi Misi GSF di MAPIM Central Warehouse, Bandar Serenia di Sepang, hari ini.

Beliau berkata, Sumud Nusantara telah melaksanakan proses penstrukturan peranan pada 28 September lalu.

Langkah itu, jelasnya, susulan keadaan empat buah kapal flotilla yang mengalami kerosakan teruk dan tidak berupaya meneruskan pelayaran.

Menurutnya, penstrukturan peranan itu melibatkan tujuh orang delegasi Malaysia dan satu delegasi Brunei.

“Dua orang dihantar ke Amman Jordan untuk membantu kumpulan perundangan sekretariat membuat persediaan iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad.

“Jumlah terkini delegasi Malaysia yang belayar ke Gaza adalah seramai 23 orang.

“Enam diterbangkan pulang dari Greece untuk menyambung tugas di SNCC iaitu, Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Mohd Asri Tuan Hussein, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan Rezahmaisalamah Md Yusof (Brunei),” kata Sani Araby.

BACA JUGA Tak macam penyasaran subsidi RON95 kini, harga petrol naik Jun 2008 paling ‘epik’