Konvoi Global Sumud Flotila melepasi Zon Merah, teruskan doa
Sebuah kapal yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke wilayah Gaza sudah melepasi Zon Merah 3.
Perkara tersebut dimaklumkan pendakwah, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat malam ini.
Beliau yang merupakan antara sukarelawan terbabit dalam misi genting itu berkata, mereka kini berada 100 batu nautika dari Gaza.
“Kami sudah melepasi zon merah. Insya-Allah malam ini kami sampai dalam keadaan paling dekat dengan Gaza, 100 batu nautika.
“Langit Gaza telah berkongsi langit dengan kami. Kita akan sampai ke Gaza dan menurunkan bantuan.
“Tiga perkara kami nak ingatkan semua, kekal sumud (teguh), terus bising dan terus bersolidariti kerana semua perkara itu diambil kira oleh rejim zionis,” tegas Rahmat lagi.
Flotila ke Gaza terbabit terdiri daripada 45 kapal yang membawa aktivis dan ahli politik.
Mereka termasuk aktivis iklim dari Sweden, Greta Thunberg serta cucu mendiang Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Kesemuanya berlepas dari Sepanyol bulan lalu dengan matlamat untuk memecah sekatan ke atas Gaza.
Pada Ogos lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan kebuluran di Gazadengan menyalahkan halangan sistematik oleh Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan.
Keganasaan berterusan Israel ke atas Gaza telah mengakibatkan lebih 66,097 rakyat Palestin terkorban, menurut Kementerian Kesihatan Gaza di wilayah tersebut.

BACA JUGA Flotila dijangka masuk zon merah 9 malam ini, ikuti ‘live’ CCTV