Nyaris jadi mangsa scam ‘beli ikan 5 kg percuma 2 kg’, pegawai bank pun terkejut
Jika orang lain kena tipu sebab beli beg tangan mewah atau telefon pintar, pasangan suami isteri ini pula hampir jadi mangsa gara-gara tawaran ikan 5 kilogram percuma 2 kilogram di media sosial.
Noor Fathin Azlan menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, kedua-dua akaun bank milik mereka tiba-tiba dibekukan selepas suami isteri itu tanpa sedar mengakses pautan palsu.
“Suami saya nak beli ikan 5 kg percuma 2 kg. Dia tak dapat buat pembayaran sebab loading lama.
“Lepas tu dia pass link dekat saya. Jadi, kami berdua sama-sama klik link tu. Sehidup semati, dua-dua kena scam,” tulisnya bersahaja.
Lebih mencuit hati, pegawai bank yang menguruskan kes itu turut mengakui ini kali pertama beliau berdepan dengan pelanggan yang hampir kena scam kerana mahu membeli ikan.
“Terasa hinanya kena scam sebab beli ikan. Kalau kena sebab beli handbag Hermes, rasa gah juga,” seloroh Fathin dalam perkongsian tersebut yang telah meraih lebih 4,000 tanda suka setakat ini.
Mujur, katanya, pihak bank bertindak pantas membekukan akaun mereka sebelum sebarang wang sempat lesap.
Sehubungan itu, Fathin yang merupakan peniaga laksa, memuji tindakan Maybank yang dianggap ‘cekap dan menyelamatkan’.
Rata-rata meluahkan rasa terhibur membaca kisah ‘scam ikan’ itu selain menjadikannya sebagai peringatan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran tidak masuk akal di media sosial.
BACA JUGA Kapal bawa 100 aktivis termasuk wartawan antarabangsa berlepas ke Gaza dari Itali