AMANAH kecam kebiadaban Israel, desak aktivis dibebaskan segera
AMANAH mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab Israel yang telah memintas, menaiki secara paksa serta menahan para peserta Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan menggesa agar semua aktivis yang ditahan Israel dibebaskan serta merta.
Beliau menegaskan, serangan yang berlaku di perairan antarabangsa ini adalah satu jenayah terang-terangan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta mencabul prinsip hak asasi manusia.
“Penahanan aktivis keamanan dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang sedang berdepan kelaparan adalah perbuatan zalim, keji dan tidak berperikemanusiaan.
“Israel tidak mempunyai sebarang hak untuk menahan atau menghalang konvoi tersebut daripada meneruskan misi mereka. Justeru, AMANAH menuntut agar semua aktivis yang kini ditahan oleh rejim Israel dibebaskan serta-merta,” katanya.
AMANAH mengingatkan supaya dunia Arab tidak ll lagi bersembunyi di sebalik kecaman kosong tanpa tindakan susulan.
Mohamad berkata, sudah tiba masanya langkah diplomatik yang tegas dan konkrit diambil untuk menamatkan kekejaman Israel.
“AMANAH menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan keselamatan rakyat Malaysia serta aktivis antarabangsa lain yang kini ditahan oleh rejim Israel.
“Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia, dan keberanian untuk mempertahankan hak rakyat yang tertindas ini mesti menjadi tanggungjawab bersama,” katanya lagi
Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar turut mendesak Israel agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera.
Beliau menegaskan ini adalah sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.
Anwar memberi jaminan kepada semua bahawa Kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.
BACA JUGA ‘Bebaskan segera semua aktivis, sukarelawan Malaysia!’ – PM Anwar