Amanah Wilayah Persekutuan sokong RUU Pembaharuan Semula Bandar dengan 7 cadangan penambahbaikan

FOTO BERITA: Sesi Taklimat Khas RUU URA PKANMalaysia kepada parti AMANAH Negara & NGO. Turut Hadir YB Datuk Hjh Aiman Athirah Sabu Timbalan Menteri KPKT, Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang Penasihat Umum Parti Amanah Negara, Tuan Hj Khalid Samad Pengarah Komunikasi AMANAH dan YB Azli Yusof Ahli Parlimen Shah Alam di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur. 2hb Oktober 2025 (Khamis)

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Datuk Hjh Aiman Athirah Sabu, hari ini menyampaikan ucapan dalam Sesi Taklimat Khas mengenai Rang Undang-Undang Urban Renewal Act (RUU URA) yang diadakan di Bangunan Parlimen Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa RUU URA merupakan satu instrumen perundangan penting yang akan menjadi pemangkin kepada usaha pembaharuan semula bandar secara lebih sistematik, inklusif dan berfokus kepada kepentingan rakyat

.YB Datuk Hjh Aiman Athirah turut menekankan bahawa pelaksanaan RUU URA harus memastikan hak rakyat, aspek pampasan yang adil serta kesejahteraan komuniti setempat sentiasa dilindungi, agar proses pembangunan semula bandar tidak menjejaskan kehidupan penduduk sedia ada

Dalam pada masa yang sama, Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dengan beberapa syor penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaannya lebih adil dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Tuan Hj Khalid Samad merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) atas sesi taklimat dan libat urus yang diadakan pagi tadi.

“Ada terlalu banyak salah maklumat yang timbul kerana kepentingan politik. RUU ini tidak menyasarkan komuniti Melayu, sebaliknya hanya menumpukan kepada bangunan usang dan kawasan yang tidak lagi sesuai diduduki,” jelas beliau.

RUU PSB adalah langkah penting untuk membangun semula kawasan bandar agar lebih kondusif, lestari dan harmoni selaras dengan perkembangan semasa, bukannya untuk mengusir penduduk asal seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Amanah Wilayah Persekutuan turut mengemukakan 7 cadangan agar diperhalusi di peringkat Jawatankuasa, antaranya, Pemilihan pemaju hendaklah dipantau kerajaan bagi memastikan hanya syarikat yang kukuh dan berpengalaman dipilih.

Pampasan adil untuk pemilik yang tidak bersetuju dalam kes persetujuan bawah 100% dan Perlindungan insurans wajib bagi menjamin kelangsungan projek sekiranya pemaju asal gagal.

Kajian profesional SIA, TIA dan EIA dilaksanakan oleh pihak bebas bagi menilai kesan sosial, trafik, alam sekitar dan kemudahan awam serta bayaran penyelenggaraan berpatutan dengan mekanisme khas agar pemilik asal membayar kos lebih rendah berbanding pembeli baharu.

Penubuhan Jawatankuasa Kecil Pemantau yang merangkumi wakil rakyat, wakil penduduk dan komuniti dan yang akhir jaminan pemilikan Melayu/Bumiputera agar tidak terhakis, malah dapat ditingkatkan melalui pelaksanaan RUU ini.

Sesi ini menjadi platform penting bagi menjelaskan matlamat RUU URA, selain membuka ruang untuk perbincangan dan kerjasama lebih erat antara kerajaan, pemimpin politik dan masyarakat.