Dunia mengamuk ekoran tindakan culik peserta Sumud Flotilla ke Gaza
Dunia ‘mengamuk’ selepas Israel secara biadab menghalang konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) untuk penduduk Gaza dan menculik ratusan aktivis terlibat.
Ribuan penunjuk perasaan dan aktivis pro-Palestin di seluruh dunia membawa sepanduk dan melaungkan slogan mendesak sekatan lebih keras dikenakan terhadap rejim Zionis itu.
Eropah hingga Australia dan Amerika Selatan ‘bergegar’ dengan unjuk rasa membantah layanan biadab terhadap GSF yang belayar dari Barcelona bulan lalu.
Di Rom, ratusan penunjuk perasaan, termasuk pelajar dan ahli kesatuan sekerja peringkat akar umbi berhimpun di Piazza dei Cinquecento di hadapan Stesen Termini.
Mereka terbabit menyekat lalu lintas di dataran itu dan jalan-jalan sekitarnya, sambil melaungkan slogan seperti ‘Sekat semua demi Flotilla dan Palestin’.
Susulan itu, polis menutup beberapa stesen metro dan mengehadkan akses penumpang ke Stesen Termini.
Di Barcelona, konsulat Israel diserbu ratusan orang yang mengecam tindakan pemintasan Israel itu dan menyatakan solidariti dengan Gaza.
Reaksi protes sama juga tercetus di Berlin apabila puluhan orang berhimpun di Central Station bagi membantah serangan Israel.
Di Brussels, ratusan penunjuk perasaan berarak dari Place de la Bourse menuju ke Kementerian Luar Belgium.
Terdahulu, masyarakat dunia dikejutkan dengan penahanan secara salah oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) terhadap aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Rejim Israel menyatakan mereka telah menghentikan 41 flotila yang membawa bantuan ke Gaza.
Hanya tinggal sebuah kapal bernama Marinette yang masih berlayar cuba memecahkan sekatan.
Kapal itu dilapor berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza malam tadi dan 10 batu nautika dari lokasi Israel yang memintas bot lain dalam flotila terbabit.
Sejak akhir Ogos lalu, kira-kira 50 buah kapal belayar ke Gaza membawa 532 aktivis kemanusiaan dari lebih 45 negara menuju perairan wilayah yang disekat rejim pengganas sejak 18 tahun lamanya itu.
BACA JUGA Lebih 45 bot awam Turkiye bergerak ke Gaza selepas aktivis Sumud Flotilla diculik