Konteks lawatan Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN diperjelaskan
Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini adalah di bawah kerangka ASEAN dan bukan inisiatif Malaysia semata-mata.
Pengarah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata kehadiran Trump adalah di bawah kerangka ASEAN-AS, disampaikan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan bukan jemputan langsung daripada Malaysia sendiri.
“Ini bukan Malaysia menjemput AS. Ia adalah ASEAN, dengan Malaysia sebagai pengerusi menjemput AS.
“Oleh itu, beliau bukan datang ke Malaysia dalam konteks dua hala tetapi sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN-AS,” katanya pada sesi di RAM Forum 2025: Building Resilience and Future-Proofing Amid Shifting Sands hari ini.