Semua aktivis Malaysia dijangka keluar menuju Istanbul tidak lama lagi
Semua aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka keluar menerusi Turkiye dalam masa satu, dua atau hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sudah menyampaikan permintaan itu kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan.
“Saya sudah minta jasa baik Erdogan untuk bawa (aktivis Malaysia keluar) ke mana-mana sempadan (dengan Israel) dan bawa ke Istanbul.
“Dari Istanbul, kita bawa pulang,” kata beliau kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Menurut Anwar yang juga penaung misi Sumud Nusantara, semua aktivis tanah air terbabit dijangka keluar menerusi satu pesawat dari Israel, bersama-sama aktivis Turkiye yang turut ditahan Israel semalam.
Seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza diculik tentera pengganas Israel ketika berada di perairan antarabangsa iaitu di luar zon maritim Gaza yang disekat.
Mereka terbabit antara kira-kira 500 aktivis membabitkan 41 kapal flotila yang telah diculik lewat malam kelmarin, kira-kira 75 batu nautika dari pantai Gaza.
BACA JUGA Jarang ada orang tolak subsidi RON95, peniaga kopi ini cetus perdebatan