Cerita dari Nadir, bagaimana aktivis GSF dilayan tidak perikemanusiaan dalam penjara Israel
Pasukan peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) mendedahkan bahawa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan layanan keras dan tidak berperikemanusiaan di penjara Israel.
Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir al-Nuri selepas mendapat maklumat daripada pertubuhan peguam terbabit yang telah menemui sebahagian aktivis di penjara.
Menurut laporan hasil wawancara pasukan GSF bersama salah seorang peguam Adalah, penjara yang menempatkan aktivis dikenali dengan reputasi buruk terhadap tahanan Palestin dan kini tindakan sama turut dikenakan ke atas aktivis antarabangsa yang terlibat.
“Penjara tempat aktivis ditahan dikenali dengan layanan keras dan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
“Keadaan itu turut menjejaskan layanan terhadap aktivis, yang didapati lebih keras berbanding misi-misi terdahulu sebagai usaha menghalang tindakan serupa pada masa akan datang,” kongsi Nadir.
Adalah turut melaporkan diskriminasi jantina dan bangsa, apabila tahanan wanita serta mereka berketurunan Arab dan penganjur utama dilayan lebih ketat berbanding yang lain.
Ia turut mengesahkan bahawa dua aktivis wanita masing-masing dari Sweden dan Sepanyol diseret dan dipaksa bergambar dengan bendera Israel.
Dari segi bantuan guaman, ramai aktivis tidak mendapat akses kepada peguam atau wakil diplomatik dalam tempoh 24 jam pertama penahanan.
“Ramai aktivis tidak mempunyai wakil guaman atau diplomatik dalam tempoh 24 jam pertama. Sehingga kini, Adalah telah berjaya menemui 300 daripada 462 tahanan.
“Sebahagian daripada mereka yang belum dilihat oleh Adalah mungkin telah dihantar pulang,” kongsinya lagi.
Menurut perkongsian Nadir, terdapat 34 aktivis yang melancarkan mogok lapar.
Seorang daripada mereka menyatakan semasa prosiding bahawa beliau mahu makanannya diberikan kepada rakyat Gaza, manakala seorang lagi berkata akan meneruskan mogok lapar dan dahaga sehingga semua aktivis yang memerlukan ubat menerima rawatan.
Menurut Adalah, semua aktivis sepakat bahawa “apa pun yang berlaku, perjuangan ini tetap untuk Palestin dan Gaza.”
Nadir menyeru orang ramai untuk terus mendoakan aktivis yang masih ditahan serta meneruskan tekanan diplomatik terhadap negara yang gagal membela warganya sendiri.
“Doakan mereka yang masih di dalam penjara. Nanti kita demo depan kedutaan lain pula yang tak kuat bantu peserta-peserta mereka,” kata Nadir.