MB Terengganu ucap terima kasih kepada kerajaan berjaya bawa pulang aktivis GSF
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha membebaskan 23 rakyat negara ini yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Samsuri mengakui, Kerajaan Persekutuan telah berjaya memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan membawa pulang kesemua aktivis termasuk lima dari Terengganu.
“Sudah tentu kita mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan (Persekutuan) yang telah memainkan peranan dan kita mendoakan supaya mereka yang terlibat itu selamat sampai ke tanah air,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Aktivis berasal dari Terengganu ialah Norfarahin Romli atau lebih dikenali Farah Lee, Muhammad Rusydi Ramli, Razali Awang, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali Ustaz Mad Kecil, dan Muhammad Asmawi Mokhtar.
Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi itu kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dan dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok, menurut Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
BACA JUGA Ada aktivis direntap tudung, foto Ardell guna tshirt tutup kepala jadi bualan