Isu Kg Sungai Baru: Sultan Selangor ambil maklum, baca kenyataan Ambrin Buang

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil maklum dan sudah membaca kenyataan dikeluarkan bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang pada Rabu lalu berkaitan status tanah dan isu pembangunan di Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur.

“DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sudah disembah maklum dan membaca kenyataan media bertarikh 1 Oktober 2025 yang dikeluarkan oleh Tan Sri Ambrin Buang berhubung kait dengan Kampong Bharu dan isu pembangunan di Kampung Sungai Baru,” menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Ambrin yang juga Ahli Dewan di-Raja Selangor adalah anak jati Kampong Bharu serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara.

Kenyataan dikeluarkannya pada 1 Oktober lalu turut dikepilkan dalam hantaran oleh Selangor Royal Office .

Kenyataan beliau menyusul kira-kira dua minggu selepas Sultan Sharafuddin menitahkan pembangunan di Kampung Baru dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan memberikan keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.

Sultan Selangor, menegaskan baginda tiada halangan jika kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman.

Bagaimananapun, baginda bertitah, syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu serta dalam setiap butir pertimbangan dilakukan semua pihak berkaitan, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira.

Baginda juga menekankan bahawa Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak 1900, sekali gus memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.

Justeru, titah baginda, sebarang keputusan atau usaha pembangunan di kawasan itu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka panjang.

Menerusi kenyataannya, Ambrin antara lain berpandangan bahawa tanah seluas 16.31 hektar di sebelah kanan tebing Sungai Klang di situ, termasuk di bawah definisi pewartaan pada 16 Februari 1932 MAS.

Selepas tanah Kampung Bharu dikurniakan oleh Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah pada 12 Januari 1900, kerajaan negeri kemudian meluruskan Sungai Klang yang melintasi Kampung Baru (kini Kampung Sungai Baru) daripada keadaan asalnya yang berbengkang-bengkok bagi mengelak banjir.

“Ia menyebabkan terbitan tanah baharu seluas 16.31 hektar selepas projek meluruskan sungai disiapkan.

“Dalam masa sama, tanah lebihan yang terbentuk itu, kedudukannya terletak di sebelah tebing kanan Sungai Klang, sekali gus termasuk di bawah definisi pewartaan tanah MAS sebagai the right bank of Klang River,” katanya dalam kenyataan 1 Oktober lalu itu.

Sehubungan itu, Ambrin berkata, tanah Kampung Sungai Baru itu boleh diklasifikasikan sebagai tanah MAS yang mengambil kira hasrat Sultan Selangor ketika itu agar orang Melayu memiliki tanah dan penempatan di pusat bandar Kuala Lumpur.

Malah tegasnya, sekarang adalah masa sesuai Kerajaan Persekutuan membetulkan semula keadaan dengan memastikan tanah itu diwartakan sebagai tanah MAS bagi tujuan penempatan orang Melayu.

“Bersesuaian dengan situasi semasa dan demi menjamin hak kepentingan orang Melayu.

“Kedudukan tanah itu sangat strategik dan bernilai tinggi, jika pembangunan dilakukan dan penjualan terbuka kepada orang bukan Melayu, maka orang Melayu tidak akan mampu untuk membeli dan memilikinya,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Siapa Briged 8200 sebenarnya?