MHO minta PDRM buka semula kes NFA penipuan dana luar negara di bawah seksyen 420

FOTO BERITA: Sidang Media MHO mengenai skandal pelaburan dana palsu melibatkan mastermind & syarikat kerugian RM8,37 juta melibatkan 57 pengadu di JSJK Bukit Aman, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur. 6hb Oktober 2025 (Isnin)

KUAL di DUNA LUMPUR, 6 Oktober 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan terhadap satu skim penipuan didakwa melibatkan “dana emas” dan “tunai luar negara” berjumlah puluhan bilion dolar Amerika Syarikat yang dipercayai telah memperdaya ramai mangsa di seluruh negara.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata pertubuhan itu menerima aduan daripada sekumpulan mangsa yang mendakwa telah diperdaya oleh sebuah kumpulan rakyat tempatan yang mendalangi skim pelaburan tidak sah menggunakan nama dana antarabangsa yang kononnya tersimpan di institusi kewangan luar negara seperti United Kingdom dan Switzerland.

Menurut beliau, pelabur-pelabur ini dijanjikan pulangan luar biasa dalam bentuk tunai dan harta sekiranya mereka membantu membiayai proses “pengaktifan” atau “pembebasan dana” tersebut. Namun, siasatan awal mendapati dakwaan itu disyaki palsu dan merupakan modus operandi penipuan terancang.

“Mangsa-mangsa diminta melabur sejumlah wang dan membuka akaun korporat dengan bayaran ribuan ringgit, kononnya untuk menerima aliran masuk dana dari luar negara. Akibatnya, ramai antara mereka mengalami kerugian besar – dari ribuan hingga ratusan ribu ringgit seorang,” kata Dato’ Hishamuddin.

MHO menjelaskan, dalang skim ini dikenali sebagai “mastermind” dan dibantu oleh beberapa “mandate” serta “leader” yang menggunakan dokumen palsu dengan logo rasmi institusi kewangan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa bank luar negara bagi memperdaya mangsa.

Tambahnya, entiti terbabit tidak berdaftar di bawah mana-mana institusi kewangan sah di Malaysia, sekali gus mengesahkan bahawa pelaburan ini tidak sah dan hanya bertujuan memperdaya orang awam. Sehingga kini, tiada seorang pun pelabur menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan. Sebaliknya, mereka diberi pelbagai alasan seperti “masalah teknikal bank luar negara” atau “proses pemindahan dana belum lengkap”.

“Lebih membimbangkan, kami dimaklumkan bahawa kegiatan ini masih aktif dijalankan secara senyap, dan ramai lagi individu berisiko menjadi mangsa baharu,” ujar beliau lagi.

MHO memohon agar semua laporan disiasat secara menyeluruh dan tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat.

“Kami juga menggesa agar laporan yang telah diberikan NFA dibuka semula kerana ia melibatkan kesalahan yang sama dan modus operandi serupa. Mangsa-mangsa berhak mendapat keadilan,” tegas Dato’ Hishamuddin.

MHO yang ditubuhkan sejak 2016 berperanan memperjuangkan hak asasi manusia melalui aktiviti kemanusiaan dan khidmat guaman. Pertubuhan itu turut berikrar untuk terus membantu mangsa-mangsa penipuan kewangan mendapatkan pembelaan sewajarnya di sisi undang-undang.