PM Anwar harap hubungan Malaysia–Pakistan terus subur

Perdana Menteri berharap hubungan persahabatan antara Malaysia dan Pakistan terus subur dan berkembang maju pada masa hadapan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas menyambut Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, yang memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Beliau memberitahu lawatan pemimpin dari Asia Selatan itu merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi beliau ke Pakistan pada Oktober 2024, dan mencerminkan eratnya hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

“Pelbagai agenda telah diatur dalam lawatan ini bagi meneroka potensi kerjasama baharu antaranya bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta pertahanan, demi manfaat bersama rakyat Malaysia dan Pakistan.

“Semoga hubungan Malaysia–Pakistan terus subur dan berkembang maju pada masa hadapan, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau, malam tadi.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa pemimpin Pakistan mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.46 malam.

Ketibaan Shehbaz dan delegasi itu disambut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Shehbaz kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Nor Saifullah Mahmad @ Mohammed.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan pelaburan Pakistan di Malaysia berkembang baik dan kini mencecah kira-kira AS$397 juta (RM1.76 bilion).

Pada November tahun lalu, Malaysia dilapor merancang mengimport daging halal bernilai AS$200 juta dan 100,000 tan beras basmati dari Pakistan.

BACA JUGA Siapa Briged 8200 sebenarnya?