FAM tak boleh berdiam, mesti jawab jelas pendedahan FIFA – Hannah
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjawab secara jelas mengenai pendedahan yang dibuat oleh FIFA.
Ia berhubung keputusan FIFA menolak kelayakan tujuh pemain, yang dalam Alasan Penghakimannya mendakwa pemain-pemain tidak mempunyai pertalian dengan negara ini.
Hannah berkata, FAM perlu melengkapkan proses rayuan serta mengumumkan hasrat untuk merayu dan memfailkannya.
“Saya telah membaca Alasan Penghakiman FIFA. FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab secara jelas tentang segala pendedahan yang dibuat oleh FIFA.
“Penyokong bola sepak tanah air berasa terluka, marah dan kecewa,” katanya dalam satu respon di Facebook.
FIFA mendakwa, maklumat yang diperolehi mereka menunjukkan datuk atau nenek kepada tujuh pemain FAM bukan kelahiran Malaysia.
Bukti yang diperolehi menunjukkan tempat kelahiran mereka ialah di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Dakwaan asal dibuat FAM ialah datuk atau nenek Gabriel Felipe Arrocha lahir di Melaka, manakala Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado dan Imanol Javier Machuca di Pulau Pinang.
Datuk atau nenek Joao Vitor Brandao Figueiredo pula dikatakan lahir di Johor, Jon Irazábal Iraurgui di Sarawak dan Hector Alejandro Hevel Serrano di Melaka.
BACA JUGA Ramai terkejut Greta tidak cerita tentang dirinya tetapi nasib umat Palestin