CEO Petronas akhirnya mohon maaf

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz akhirnya memohon maaf ekoran insiden acara semburan minuman keras ketika berada di atas podium Formula 1, Singapura, 5 Oktober lalu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku secara spontan akibat sangat teruja meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One pada musim ini.

“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.

“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Untuk rekod, Tengku Muhammad Taufik menerajui pengurusan tertinggi Petronas pada 1 Julai 2020 iaitu semasa zaman Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Beliau mengambil alih kepimpinan tertinggi Petronas pada usia 47 tahun ketika itu dan mencipta rekod antara individu termuda yang memegang jawatan kepimpinan syarikat minyak dan gas nasional tersebut.

BACA JUGA Motac minta maaf, akan pastikan tidak berulang