KPDN Wilayah Persekutuan laksana pemantauan menyeluruh pelaksanaan penuh Program Subsidi Bersasar BUDI95

FOTO BERITA: Operasi pemantauan pelaksanaan BUDI95 bersama Pengarah KPDN WPKL, Tuan Mohd Sabri Saman di Stesen Petronas Jalan Kuching, Kuala Lumpur. 7hb Oktober 2025 (Selasa)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melaksanakan pemantauan menyeluruh di semua stesen minyak sempena pelaksanaan penuh Program Subsidi Bersasar BUDI MADANI (BUDI95) yang bermula pada 30 September lalu.

Pemantauan tersebut bertujuan memastikan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) berfungsi dengan baik di peringkat stesen minyak serta memastikan kelancaran penyaluran subsidi petrol RON95 secara bersasar kepada rakyat Malaysia yang layak.

Menurut Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri bin Seman, hasil pemeriksaan awal mendapati semua stesen minyak di sekitar Kuala Lumpur memberikan kerjasama yang baik dan sistem SKPS beroperasi dengan lancar.

“Setakat ini, sebanyak 196 stesen minyak telah diperiksa melibatkan 101 anggota penguat kuasa KPDN WPKL, dan tiada sebarang isu atau gangguan dikesan. Malah, tiada aduan diterima berkaitan pelaksanaan sistem SKPS di mana-mana stesen minyak di Kuala Lumpur,” katanya.

Melalui pelaksanaan BUDI95 dan SKPS, semua transaksi jual beli petrol — sama ada oleh syarikat minyak, pengusaha stesen, syarikat, atau pengguna individu — direkodkan secara digital dan telus. Pendekatan ini membolehkan KPDN menjalankan pemantauan dengan lebih cepat dan efektif, di samping mengesan sebarang aktiviti mencurigakan seperti pembelian berulang dalam jumlah tidak munasabah.

Sistem ini juga membantu menyekat penyelewengan dan aktiviti penyeludupan petrol yang pernah berlaku sebelum ini, sekaligus mengukuhkan kecekapan pengurusan subsidi bersasar kerajaan.

Dalam usaha mengekang penyalahgunaan identiti, KPDN turut menegaskan bahawa pegawai penguat kuasa mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memeriksa kad pengenalan pengguna apabila perlu, sebagai langkah kawalan dan pencegahan munasabah.

Selain itu, kenderaan berdaftar asing hanya dibenarkan mengisi RON97, selaras dengan dasar kerajaan bagi memastikan subsidi RON95 tidak dinikmati oleh pihak yang tidak layak.

KPDN WPKL turut mengingatkan pengusaha stesen minyak untuk melakukan semakan harian terhadap peranti dan sistem SKPS/BUDI95 bagi memastikan ia berfungsi dengan baik dan memberi pendedahan berterusan kepada pekerja mengenai pelaksanaan SKPS/BUDI95. .

Memaparkan manual pengguna SKPS dalam bentuk risalah di semua pam minyak. Membuka kaunter pendaftaran MySubsidi, Fleetcard dan SKPS bagi membantu pengguna mendaftar dan melaporkan segera sebarang isu atau penutupan stesen kepada pihak KPDN

KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus mempergiat pemeriksaan bagi memastikan pelaksanaan sistem berjalan lancar.

KPDN menyeru pengguna menyalurkan aduan melalui saluran rasmi kementerian, Portal e-Aduan: https://eaduan.kpdn.gov.my, Talian Bebas Tol: 1-800-886-800, E-mel: e-aduan@kpdn.gov.my, Aplikasi Mudah Alih: Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC): 03-8882 6088
