Motac minta maaf, akan pastikan tidak berulang

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil iktibar daripada kejadian menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan dan akan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

MOTAC memaklumkan pihaknya akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang ditetapkan.

Menerusi kenyataan hari ini, MOTAC memberitahu pihaknya menerima teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini.

“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat menyesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.

“Kementerian mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan supaya perkara seumpama itu tidak akan berulang.

“MOTAC juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas nasihat, teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha kementerian dalam memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.

“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali. MOTAC akan terus memperkukuh komunikasi serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” kata MOTAC.

Sebelum ini, King Sing menegaskan pihak industri dan sektor swasta teruja dengan program Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia yang julung kali dianjurkan itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.

King Sing berkata, acara selama dua hari setengah dianjurkan dengan inisiatif pihak industri serta sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

BACA JUGA 6 ‘geng Hamzah’ dipanggil Lembaga Disiplin esok