PM tegas larang hidangan arak dalam acara kerajaan, menteri terlibat diberi amaran keras

Perdana Menteri menegaskan bahawa dasar kerajaan adalah jelas dan tegas, iaitu tidak membenarkan sama sekali minuman keras dihidangkan dalam mana-mana acara anjuran atau melibatkan institusi kerajaan.

Beliau berkata, semua pihak dalam pentadbiran, termasuk yang memegang jawatan menteri, perlu lebih peka serta sensitif terhadap peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Tindakan menteri dan kementerian terbabit amat dikesali, dan mereka telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi perkara sama,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan seluruh jentera kerajaan agar tidak cuai dalam hal seumpama itu, serta memastikan kesilapan sedemikian tidak berulang pada masa hadapan.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memberi alasan bahawa pihak industri dan sektor swasta teruja dengan program Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia yang julung kali dianjurkan itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.

Jelasnya, acara selama dua hari setengah dianjurkan dengan inisiatif pihak industri serta sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

Hidangan minuman beralkohol itu mengundang kritikan banyak pihak termasuk sayap pemuda parti seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita Muda AMANAH (WARDA) dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

BACA JUGA Laporan audit buktikan pengurusan kewangan negara bertambah baik