Bila dunia membisu, Greta lantang bersuara
Oleh AFIQ NOORDIN
Terdiam saya sekejap apabila dengar kenyataan media Greta Thunberg kelmarin.
Nada suaranya tenang, tapi setiap ayat seperti peluru yang tepat ke jantung hipokrasi dunia.
Bagi saya, Greta bukan lagi aktivis alam sekitar yang kita kenal di pentas PBB.
Dia kini berdiri sebagai suara kemanusiaan sejagat, memahami bahawa isu GZ bukan sekadar tragedi politik tapi lambang kegagalan moral seluruh dunia.
Ramai mungkin melihat Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pelayaran sukarelawan, kapal kecil yang berlayar membawa ubat dan harapan.
Namun, sebenarnya ia bukan pelayaran pelancongan. Bukan misi yang seronok dan gembira mendapat pengalaman baru. Tak.
Ini adalah misi yang menuntut keberanian, disiplin dan kejujuran naratif.
Saya setuju sepenuhnya bahawa mereka yang berada dalam GSF perlu berhati-hati apabila berkongsi pengalaman.
Bukan kerana mahu mengekang cerita tapi kerana setiap tawa kecil boleh disalah tafsir oleh dunia yang cepat menilai.
Mempertahan kebenaran
Ketika kapal mereka diserang, dirampas dan rakan-rakan mereka ditawan, naratif bukan lagi soal siapa menjadi wira tapi bagaimana untuk mempertahankan kebenaran di tengah propaganda.
Kenyataan Greta semalam adalah kelas komunikasi yang tinggi. Dia tidak menangis di hadapan kamera, tidak mempamerkan diri sebagai mangsa. Sebaliknya dia mengambil alih naratif dengan berkata,
“Ini bukan tentang saya. Ini tentang kezaliman yang sedang berlaku di depan mata dunia, dan tentang mereka yang berdiam diri.”
Inilah yang membezakan Greta daripada ramai aktivis lain. Dia fokus pada isu centric, bukan aku centric.
Fokusnya bukan pada penderitaan dirinya tetapi pada penderitaan rakyat Gaza. Bukan tentang apa yang dia alami tetapi tentang apa yang dunia sedang biarkan berlaku.
Dalam dunia aktivisme moden yang mudah terperangkap dalam “saya, saya, saya”, Greta memilih jalan yang lebih matang dengan meletakkan isu di hadapan dirinya.
Dia tahu dunia hari ini lebih cepat simpati pada wajah yang popular berbanding rakyat Gaza yang diseksa setiap hari.
Maka dia gunakan dirinya sebagai cermin supaya dunia akhirnya melihat apa yang mereka cuba elak daripada pandang.
GSF bukan sekadar konvoi kapal. Ia adalah ujian terhadap manusiawi kita sendiri. Ia menguji siapa yang berani bertindak apabila kerajaan dunia gagal.
Ia membezakan antara mereka yang hanya bercakap tentang keadilan dan mereka yang berlayar untuk menuntutnya.
Dan Greta dengan segala pengalaman telah menunjukkan satu perkara penting iaitu mengawal naratif adalah sebahagian daripada perjuangan.
Kerana dalam perang yang memusnahkan nyawa dan berita yang disaring oleh kepentingan politik, naratif yang benar adalah senjata paling tajam.
Malam tadi saya tutup video itu dengan dada yang berat tapi hati yang yakin.
Selagi ada anak muda seperti Greta yang berani bersuara, selagi kapal seperti GSF masih berlayar, selagi dunia masih ada manusia yang tak rela berdiam, perjuangan ini belum kalah.
Saya gelarkan dia Greta The Great!
BACA JUGA ZRA pilih pulang senyap tanpa liputan, enggan dipuji dan disanjung