Kemelut dalam Bersatu: Jangan tolak kami kuat sangat, kata Wan Saiful
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengingatkan pimpinan partinya agar tidak menekan diri dan pimpinan yang telah dirujuk kepada Lembaga Disiplin partinya.
“Kita tahu siapa sebenarnya yang rapat dan berbincang dengan pihak sebelah sana (parti lawan) tapi kerana disiplinnya kami, kami tak nak sebut.
“Tapi, janganlah tolak kuat sangat. Takut nanti ada reaksi,” dakwa beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding Lembaga Disiplin di ibu pejabat partinya.
Wan Saiful merupakan salah seorang daripada enam pimpinan Bersatu yang dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk disiasat.
Antara dakwaan yang dikenakan ke atas beliau ialah pengumpulan Akuan Bersumpah untuk menjatuhkan presiden parti Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan empat lagi Ketua Bahagian, iaitu Muhammad Fadhli Ismail (Ipoh Timor), Mohd Isa Saidi (Ampang), Mohd Faisal Asmar (Pengerang) dan Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya) turut dipanggil hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful memaklumkan, beliau dipanggil Lembaga Disiplin atas dakwaan berkaitan SD dan kritikan ke atas Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Katanya, setiap pemimpin yang dipanggil disebabkan aduan oleh individu berbeza, namun berkaitan isu yang sama.
“Agak susah sikit apabila mengkritik seseorang individu itu dianggap mengkritik parti secara keseluruhan, seolah-olah kami ini bukan parti.
“Orang lain kritik kita boleh, tapi kita kritik seorang “anak emas” ini, tidak boleh,” katanya.
Wan Saiful berkata, dalam prosiding berkenaan, beliau dan empat Ketua Bahagian lain menyampaikan pandangan dan input yang perlu, justeru terserah kepada Lembaga Disiplin untuk memutuskan tindakan selanjutnya.
“Kita mengikut proses dalaman parti, berbeza dengan sikap puak lain yang menggunakan media sosial, “Black Ops” untuk menyebarkan pandangan dan tuduhan mereka.
“Kita perlu tunggu keputusan yang dibuat. Harapan saya ada perbincangan lanjut dengan Lembaga Disiplin kerana dalam sesi ini, kita tidak dapat sampaikan semua maklumat dan mereka pun tidak bertanya terlalu terperinci,” katanya.
BACA JUGA: Wan Saiful lawan Azmin: Presiden Bersatu kata begini