Wira Sumud Nusantara Malaysia pulang dengan selamat, kejayaan besar diplomasi dan solidariti kemanusiaan negara

FOTO BERITA: Majlis Menyambut Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia penuh beremosi di Balai Ketibaan KLIA. 7hb Oktober 2025(Selasa)

Suasana penuh emosi dan kebanggaan menyelubungi Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila berlangsungnya Majlis Menyambut Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia, yang baru tiba ke tanah air selepas menamatkan misi kemanusiaan di Gaza dan beberapa negara rantau Asia Barat.

Majlis yang dianjurkan bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan MAPIM Malaysia dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan ini menyambut ketibaan 23 sukarelawan Malaysia yang telah berkhidmat selama beberapa minggu di lapangan bagi menyalurkan bantuan ubat-ubatan, makanan dan sokongan moral kepada mangsa konflik di Gaza.

Majlis disertai oleh ahli keluarga, sahabat-handai, penyokong dan wakil agensi kerajaan serta NGO tempatan, yang hadir memberikan sokongan moral dan penghargaan atas keberanian pasukan tersebut.

Turut hadir menyambut kepulangan mereka ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi, YB Datuk Hjh Aiman Athirah Timbalan Menteri KPKT, Cikgu Cikgu Azmi Abd Hamid Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Mufti Wilayah Persekutuan

Dalam sidang media, Datuk Seri Mohamad menegaskan supaya orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan tuduhan tidak berasas mengenai perjalanan misi tersebut.

“Mereka tak pergi ke Israel, mereka nak pergi ke Gaza tetapi dikepung tentera rejim Zionis dan ditahan. Jadi, jangan dengar cakap-cakap orang,” katanya.

Datuk Seri Mohamad menjelaskan bahawa kumpulan sukarelawan itu tidak pernah memasuki Israel, sebaliknya berada di kawasan sempadan ketika insiden penahanan berlaku.

Beliau turut menyifatkan kepulangan selamat mereka sebagai kejayaan besar diplomasi Malaysia, hasil usaha gigih kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) bersama agensi keselamatan dan rakan diplomatik di rantau tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha diplomasi berterusan di peringkat tertinggi, dengan sokongan negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan,” katanya lagi.

Datuk Seri Mohamad turut menegaskan bahawa kejayaan ini melambangkan solidariti antarabangsa terhadap perjuangan kemanusiaan rakyat Palestin, selain memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang konsisten dalam memperjuangkan keamanan global dan hak asasi manusia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri, menegaskan bahawa perjuangan untuk membebaskan Palestin masih jauh daripada selesai, walaupun pasukan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla telah pulang dengan selamat ke tanah air malam tadi.

“Walaupun kita tidak berjaya ‘break the siege’, namun kita berjaya ‘break the silence’. Kehadiran kita semua di sini hari ini membuktikan kita bersatu dengan Palestin,” katanya disambut tepukan dan laungan semangat oleh hadirin.

“Kesengsaraan Palestin masih belum tamat, mereka tetap terus-menerus dizalimi. Perjalanan kita untuk membebaskan mereka masih panjang,” ujarnya penuh semangat.

Kesemua 23 wira dan wirawati Global Sumud Flotilla tiba di KLIA1 pada jam 10.13 malam menaiki pesawat Emirates EK452, disambut dengan laungan “Free Palestine”, “Bebas Gaza”, dan “Hidup Sumud” oleh ribuan penyokong, keluarga serta aktivis kemanusiaan yang menanti sejak petang.

Difahamkan, para sukarelawan tersebut telah diculik oleh tentera Israel ketika dalam perjalanan menuju ke Gaza untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, dan mengalami pelbagai bentuk penderaan fizikal serta mental sepanjang tempoh penahanan mereka.

Kepulangan pasukan Wira Sumud Nusantara Malaysia itu bukan sekadar penutup kepada sebuah misi, tetapi juga permulaan kepada gelombang kesedaran baharu dalam perjuangan kemanusiaan sejagat membuktikan bahawa suara rakyat Malaysia untuk Palestin tidak akan pernah dibisukan.