Global Sumud Flotilla Disambut Sebagai Wira Kemanusiaan di Himpunan “Demi Keadilan Untuk Palestin”

FOTO BERITA: Majlis Himpunan Malaysia “Demi Kekeadilan Untuk Palestin” bersama Sukarelawan Global Sumud Flotilla disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. 8hb Oktober 2025 (Rabu)

KUALA LUMPUR, 8 OKTOBER 2025 (RABU) – Ribuan rakyat Malaysia berhimpun di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam Majlis Himpunan Malaysia “Demi Keadilan Untuk Palestin” yang turut disertai oleh Sukarelawan Global Sumud Flotilla.

Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang dalam ucapannya menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk berdiri teguh bersama Palestin dalam menentang penindasan dan kekejaman rejim Israel.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua sukarelawan Global Sumud Flotilla yang baru pulang dari misi kemanusiaan di Gaza dan menyifatkan mereka sebagai wira kemanusiaan yang berani serta berjiwa besar.

“Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat. Isu Palestin bukan sekadar isu agama, tetapi isu kemanusiaan yang menuntut keberanian moral dan solidariti dunia,” tegas Perdana Menteri dalam ucapannya.

Turut hadir Menteri Luar Negeri, YB Datuk Seri Mohamad Hasan, serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan dan tokoh masyarakat.

Majlis berkenaan diserikan dengan tayangan video dokumentari misi flotilla, deklamasi sajak, persembahan nasyid patriotik, serta doa khas untuk keselamatan rakyat Palestin.

Himpunan yang penuh semangat itu menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan sejagat — tanda jelas bahawa suara Malaysia untuk Palestin akan terus bergema di pentas dunia.