Global Travel Meet mulanya program kerajaan, tapi diambil alih pemain industri – Tiong

Majlis makan malam Global Travel Meet 2025 yang telah mengundang kritikan ekoran hidangan minuman alkohol pada mulanya ialah program kerajaan.

Namun ia telah diambil alih oleh pemain industri.

Oleh yang demikian, soalan pematuhan pekeliling 3/2003 berhubung larangan hidangan alkohol tidak terpakai sama sekali.

“Pada awalnya Global Travel Meet merupakan program rasmi kementerian. Namun, demi menjimatkan kos, kami terus mengadakan perbincangan dengan pemain industri untuk mengambil alih kos program itu, mereka minta tunggu dulu,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

“Lepas mereka mendapat lebih RM420 juta, mereka kata kami ambil alih majlis makan malam. Jadi, ia menjadi program swasta.

“Cuma kesilapannya, saya tak mengumumkan ia program swasta diambil alih pemain industri, dan ia bukan lagi program rasmi Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya),” katanya semasa sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat

Tiong berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun).

“Peraturan mengenai pekeliling perkhidmatan 3/2003 hanya terpakai bagi jamuan rasmi kerajaan yang menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan.

“Inilah saya sekali lagi berkata itu majlis itu bukan rasmi, tetapi swasta. Maka pekeliling 3/2003 tak terpakai dan isu berkaitan minuman arak tak sepatutnya tertimbul,” katanya.

“Saya buat kesilapan kerana logo di sana masih tunjuk (tertera) Tourism Malaysia, bawah (dalam dewan) semua pemain industri. Acara makan malam itu bukan rasmi, ia adalah acara ‘private’. (Jadi) pekeliling tidak terpakai dan isu minimum beralkohol tak sepatutnya timbul.

“Namun saya dan Motac dengan penuh tanggungjawab mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan segala kesulitan. Segala yang timbul amat dikesali,” katanya.

Menjawab soalan Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) Tiong berkata Global Travel Meet 2025 Berjaya mengutip jualan pelancongan sebanyak RM420 juta sepanjang tiga hari ia diadakan.

“(Awalnya) kita jangka kemungkinan penganjuran ini boleh dapat RM50, RM60 juta saja kerana ini adalah pertama kali (dianjurkan). Kita jual (pakej pelancongan) kepada antarabangsa.

“Itulah impak rundingan B2B (perniagaan dengan perniagaan) antara penggiat industri tempatan dan syarikat agensi, nilai keseluruhan yang diperoleh adalah RM420 juta,” katanya.