Kukuh kesatuan dalam kalangan nelayan, kuasai rantai bekalan industri perikanan
Nelayan tempatan khususnya Melayu perlu bersatu untuk menguasai rantai bekalan dalam industri perikanan.
Ini penting agar nelayan dapat berdikari dalam sektor tersebut, kata pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Faiz Fadzil.
“Di mana saja kita berada walaupun kita kecil kita boleh bersatu dan bina negara. Apa yg kita nak bina? Satu komuniti nelayan yang hebat.
“Saya tak perlu bina bangunan. Agenda saya jaga rakyat. Saya nak bantu persatuan nelayan.
“Melayu masih kumpulan terbesar dalam sektor nelayan ini. Kuasai setiap sektor nelayan ini. Biar kita sendiri urus sektor ini. Dalam 10 tahun akan datang, kita nak lihat nelayan jaga nelayan.
Beliau turut memberi contoh sektor-sektor tertentu yang dikuasai oleh orang asing kerana ketiadaan kesatuan dalam kalangan pemain industri tempatan.
Antaranya sektor pembaikpulihan rumah yang kini dikuasai oleh warga Indonesia dan Pasar Borong Selayang yang dikuasai oleh warga Bangladesh.
Faiz turut menggunakan contoh zaman penjajahan, isu Palestin untuk menekankan kepentingan para nelayan bersatu.
Beliau juga yakin bahawa nelayan akan memperoleh bantuan wang di antara RM300 hingga RM500 menerusi Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan bulan ini.
Faiz berkata demikian semasa program Rahmah Mesra Madani bersama nelayan Dungun di Terengganu.
Terengganu telah menerima peruntukan RM200,000 di bawah Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.
Ia merupakan bantuan segera kewangan dan barangan untuk nelayan.
Selain itu LKIM turut membaikpulih dan membina rumah baharu untuk nelayan.
Di daerah Dungun sahaja, RM272,000 telah diperuntukkan untuk untuk satu projek baik pulih rumah dan tiga rumah yang dibina baharu.