YB Najwan tinjau kesan letupan bukit di Nusa Rhu, ambil serius aduan penduduk

FOTO BERITA: Tinjauan kesan kerja letupan bukit serta aduan penduduk kepada YB Mohd Najwan Halimi, ADUN Kota Anggerik merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor di Bandar Nusa Rhu, Shah Alam, Selangor. 9hb Oktober 2025 (Khamis)

YB Mohd Najwan Halimi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor, hari ini mengadakan tinjauan lapangan di Jalan Pulau Angsa U10/31, Bandar Nusa Rhu, Shah Alam bagi menilai kesan kerja-kerja letupan bukit yang dilaporkan menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.

Tinjauan tersebut dilakukan susulan aduan penduduk mengenai gegaran, habuk serta kerosakan kecil pada struktur rumah yang dipercayai berpunca daripada aktiviti kuari dan kerja letupan di kawasan berhampiran.

Menurut YB Mohd Najwan, pihaknya memandang serius aduan tersebut dan akan mengadakan pertemuan segera dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), serta wakil syarikat pemaju atau pengusaha kuari bagi mendapatkan penjelasan terperinci serta memastikan langkah keselamatan dipatuhi sepenuhnya.

“Keselamatan dan ketenteraman penduduk mesti menjadi keutamaan. Jika terdapat pelanggaran syarat atau tahap bunyi dan gegaran melebihi had yang dibenarkan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi,” tegas beliau.

Penduduk yang hadir semasa tinjauan turut berpeluang menyuarakan kebimbangan mereka secara langsung kepada wakil rakyat, termasuk cadangan supaya jarak zon penampan antara kawasan letupan dan kawasan perumahan dikaji semula.

Najwan menambah langkah itu bagi memudahkan pihaknya berbincang dengan pemaju dan sekiranya ada keperluan untuk mendapatkan pampasan sewajarnya.

“Saya minta persatuan penduduk mengemukakan laporan aduan secara kolektif berhubung kediaman mereka yang terjejas untuk kita bincang dengan pemaju, jangan aduan datang satu-satu, biar semua ada.

“Setakat kita terima maklum balas daripada pemaju tadi memang mereka menjalankan kerja tersebut berdasarkan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa terutama Jabatan Mineral dan Geologi. Daripada segi peraturan memang mereka dah ikut cuma kita lebih kepada nak membantu penduduk yang kita lihat sedikit sebanyak ada kediaman mereka terjejas akibat pembinaan projek fasa baharu ini,” katanya lagi

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di kawasan kerja letupan bukit bersama penduduk, pemaju dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam di Bandar Nusa Rhu, Seksyen U10 di sini hari ini. Jelas Mohd Najwan, beliau difahamkan oleh pihak pemaju projek tersebut mendapat permit untuk kerja letupan stuktur bukit tersebut sehingga Februari 2026.
